Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Hot Daddy’ didakwa di Mahkamah Seksyen, di sini, bersama dua teman wanitanya kerana membuat pengiklanan perkhidmatan persundalan menerusi aplikasi X, minggu lalu.

Tertuduh, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orange anak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali, hari ini.

Turut sama didakwa ialah dua wanita, Norhidayah Mahadi, 24, yang bekerja sendiri bersama pengurus swasta, Norshazrina Md Zamri, 27, masing-masing mengaku tidak salah.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama membuat pengiklanan perkhidmatan persundalan menggunakan laman sosial aplikasi X yang mana orang munasabah akan memahaminya sebagai perkhidmatan persundalan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Bukit Aman, di sini, pukul 10.10 pagi 16 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca di bawah Seksysn 34 kanun sama yang memperuntukkan hukyman penjara maksimum 15 tahun dan dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latif tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh memandangkan kesalahan tidak boleh dijamin.

Namun kata Nidzuwan, andainya mahkamah benarkan jaminan maka pendakwaan mencadangkan RM20,000 setiap seorang.

Cadangan itu kemudian dibantah oleh peguam mewakili ketiga-tiga tertuduh, Mohd Fariz Abrar Othman serta memohon jaminan lebih rendah.

Alasan yang diberikan peguam itu ialah ketiga-tiga anak guamnya tidak mempunyai risiko melarikan diri kerana kesemua mereka adalah rakyat tempatan dan mempunyai keluarga masing-masing di sini.

“Yang Arif, mohon pertimbangan anak guam saya, Hasli Ikhwan mempunyai tiga anak berusia antara 4, 10 dan 12 tahun. Manakala Norhidayah tiada pendapatan tetap manakala Norshazrina menanggung ibu yang sudah tua,” ujarnya.

Hakim Siti Aminah membenarkan ketiga-tiga tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan sebutan kes pada 28 Februari ini.

Pada 18 Januari lepas, ketiga-tiga tertuduh ditahan di sebuah rumah di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, pada pukul 2.30 petang.

Tertuduh lelaki itu dikesan melalui hasil maklumat dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), JSJ Bukit Aman mengenai kegiatan mempromosikan aktiviti seks dirinya sendiri yang dirakam dan dijual untuk tontonan di platform Telegram. – MalaysiaGazette