KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon menuntut kritikan yang lebih adil berikutan kegagalan anak buahnya mencatat kemenangan dan terkandas awal dalam Kumpulan E kejohanan Piala Asia 2024, Qatar semalam.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu mengingatkan sesetengah pihak agar mengenang semula perjalanan Harimau Malaya sejak dia mengambil alih tugas ketua jurulatih pada 2022 dan bukan menilai prestasi pada Piala Asia 2023.
“Selepas 42 tahun, anda pula menuntut kemenangan dan pusingan 16. Kita perlu berikan masa, berikan sokongan kepada pemain dan bina asas yang mantap untuk kembali. Ia sangat mustahak.
“Dalam dua tahun terakhir, kami berikan anda keputusan dan persembahan mantap. Kami meledak gol dalam setiap perlawanan.
“Saya tahu anda tunggu kegagalan saya. Saya sentiasa bersedia, tiada masalah. Semalam anda mahu saya dipecat, kini dipuji pula,” katanya sidang media selepas bertemu Korea Selatan malam tadi.
Semalam, Harimau Malaya bangkit untuk mencalar reputasi pasukan ke-23 dunia itu apabila mengikat gergasi Asia itu 3-3 di Stadium Al Janoub.
Satu mata yang diraih itu menyaksikan Harimau Malaya memperbaiki pencapaian buruk pada edisi 2007 yang mana skuad negara yang beraksi atas tiket selaku tuan rumah gagal mengutip sebarang mata pada ketika itu.
Skuad kendalian Pan Gon yang berada di ranking 130 dunia bermula positif dengan benteng pertahanan berjaya mengekang asakan lawannya selain jentera serangan skuad negara turut mencipta beberapa gerakan ke kubu lawan.
Pan Gon menambah, selepas 42 tahun menanti untuk layak, pemain Malaysia tidak pernah melalui tekanan dalam kejohanan indah seperti Piala Asia ini.
“Korea layak kancah ini dalam masa 32 tahun, selepas 16 tahun barulah mereka memenangi perlawanan pertama di tempat sendiri dan 24 tahun pula di tempat lawan,” katanya. – MalaysiaGazette