Timbalan presiden persatuan penghantar P.Hailing Malaysia, Abdul hakim abdul rani menyerahkan memorandum Permohonan Tuntutan P.hailing kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 26 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini sebulat suara bersetuju untuk meminta kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM).

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia bagi memastikan aspek kebajikan dan hak pekerja ekonomi Gig di Malaysia terpelihara.

“Mesyuarat MKT UMNO membincangkan mengenai Memorandum Tuntutan Rakan-Rakan Penghantar Syarikat Penyedia Perkhidmatan Penghantaran Barangan dan Makanan (P-Hailing) Grabfood yang diserahkan.

“Mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk meminta kerajaan segera menubuhkan SEGiM sekali gus memastikan aspek kebajikan dan hak pekerja ekonomi Gig di Malaysia terpelihara,” katanya pada sidang media, di Menara Dato Onn, di sini, malam ini.

Terdahulu Penghantar menyerahkan Memorandum Permohonan Tuntutan Rakan-rakan Penghantar Syarikat Penyedia Perkhidmatan Barang dan Makanan (P-Hailing) Grab Food Malaysia kepada Asyraf sebelum mesyuarat MKT UMNO, malam ini.

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Terdahulu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Abdul Hakim Abdul Rani meminta UMNO untuk campur tangan dalam isu kadar upah pengambilan dan penghantaran barang dan makanan.

Abdul Hakim Abdul Rani berkata, pendapatan penghantar P-Hailing terjejas akibat pengenalan skim baharu kadar upah pengambilan dan penghantaran barang dan makan sejak 16 Januari lalu.

Menurutnya, syarikat pengendali perkhidmatan penghantaran P-Hailing perlu mengembalikan semula kadar upah sebanyak RM5 untuk 2 kilometer (km) pertama bagi Lembah Klang dan bandar utama.

Katanya lagi, skim baharu diperkenalkan syarikat P-Hailing tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada penghantar menyebabkan mereka kehilangan RM1 bagi setiap 2 km pertama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast