Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengubah sistem saraan bagi golongan politik terlebih dahulu sebelum mengubah penjawat awam.

Aktivis pPolitik, Shahir Adnan berkata, tidak dinafikan menjelang 2040, jumlah pencen yang terpaksa ditanggung kerajaan melonjak RM120 bilion jika sistem sekarang tidak dipinda dan ia satu jumlah yang besar.

Bagaimanpun katanya, idea itu sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat agar semua ahli Parlimen, kerajaan dan pembangkang bersatu hati demi rakyat untuk membuat perubahan ke atas sistem pencen mereka terlebih dahulu.

Ini mengambil kira gaji dan elaun yang diterima mereka tinggi berbanding penjawat awam biasa.

“Menurut Akta Ahli Parlimen, gaji bulanan seorang Ahli Dewan Rakyat termasuk elaun boleh mencecah RM 25,700 sebulan. Mereka layak mendapat pencen secara automatik setelah menamatkan perkhidmatan minimum 36 bulan dan boleh mengambil pencen apabila mencapai usia 50 tahun.

“ADUN pula menerima gaji dan elaun bulanan antara RM6,000 hingga RM15,000. Melaka mengumumkan kenaikan gaji dan elaun ADUN untuk Januari 2024 daripada RM9,000 kepada RM12,000 sebulan.

“Bayangkan betapa banyaknya pencen ahli-ahli politik, berbanding penjawat awam biasa. Ini belum ditambah dengan pencen menteri, kiranya mereka dilantik sebagai anggota pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Shahir menggesa kerajan supaya mengubah sistem saraan orang-orang politik berkenaan yang dipilih dan dilantik itu.

Pada Rabu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Menurut Ahmad Zahid, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, pendirian itu dibuat kerajaan selepas menilai bahawa menjelang 2040, jumlah pencen yang terpaksa ditanggung kerajaan jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda, akan mencecah RM120 bilion setahun. – MalaysiaGazette