Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memberi penerangan statistik kes Jenayah Komersial Tahun 2023, 2004 di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 26 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatikan untuk berhati-hati dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengaut untung kononnya mewakili mangsa penipuan untuk menuntut wang yang ditipu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, terdapat NGO yang memanipulasi mangsa dengan menawarkan perkhidmatan berbayar untuk mewakili menyuarakan kes penipuan.

Sejak mutakhir ini, banyak NGO dilihat menunjukkan minat dalam aktiviti pencegahan jenayah komersil, katanya.

“Usaha yang dilakukan dalam menyebarkan informasi serta mesej pencegahan jenayah komersil adalah amat dialu-alukan dan dihargai.

“Bagaimanapun, situasi jenayah komersil ini turut dimanipulasi oleh segelintir NGO yang mengenakan caj bagi perkhidmatan ditawarkan walaupun tiada sebarang jaminan diberikan untuk mangsa memperoleh semula wang mereka yang ditipu,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ hari ini.

Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bercakap semasa mengadakan Sidang Media mengenai situasi semasa Jenayah Komersial di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 26 JANUARI 2024.

Sehubungan itu, Ramli menegaskan, sebarang tawaran perkhidmatan berbentuk pengutip hutang oleh pihak NGO perlu dinilaiĀ  sebaiknya kerana ia tidak dilindungi di bawah undang-undang.

“Kita khuatir caj perkhidmatan yang dibayar oleh mangsa hanya akan mengakibatkan mereka mengalami kerugian tambahan selain kerugian dialami,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 1,918 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian RM92 juta bagi tempoh 1 hingga 15 Januari lalu.

“Dalam tempoh setengah bulan pertamaa 2024, peningkatan jumlah kertas siasatan menunjukkan sebanyak 42.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 1,344 kes.

“Kes-kes penipuan dalam talian terus mencatatkan jumlah tertinggi daripada jumlah keseluruhan kes disiasat iaitu sebanyak 1,654 atau 86.2 peratus,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan nilai kerugian bagi tempoh itu meningkat kepada 81 peratus apabila RM72 juta direkodkan berbanding RM39 juta tempoh sama tahun lalu.

“Trend peningkatan kes dan nilai kerugian yang direkodkan itu amat membimbangkan dan diharap masyarakat sama-sama bertindak dan mengambil bahagian dalam usaha pencegahan jenayah komersial,” ujarnya. – MalaysiaGazette