Hospital Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Hospital Kuala Lumpur (HKL) sedang menyiasat kejadian berkaitan pesakit yang menerima bantuan pernafasan melalui mesin ventilator.

Pengarah HKL, Datin Paduka Dr Rohana Johan berkata, pihak hospital dengan kerjasama syarikat konsesi hospital sentiasa memastikan peralatan perubatan yang digunakan untuk merawat pesakit dipantau dan diselenggara mengikut jadual agar perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dapat diberikan kepada pesakit.

Menurutnya, sebarang komplikasi rawatan perubatan yang menjejaskan keselamatan pesakit akan disiasat mengikut sistem pelaporan yang digariskan dalam panduan pengurusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, KKM melancarkan siasatan terhadap laporan seorang pesakit yang meninggal dunia dan seorang lagi diklasifikasikan mati otak di dua wad berasingan dekat sebuah hospital di Lembah Klang.

Kedua-dua kes didakwa berpunca kerosakan mesin ventilator berlaku dalam tempoh seminggu. – MalaysiaGazette