Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang kerana fokus utama kini adalah memastikan perpaduan rakyat dan pembangunan negara, kata jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil.

Mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bahawa 10 lagi Ahli Parlimen pembangkang akan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menyifatkan perkara itu tidak mustahil.

“Ketersediaan sama ada mereka ingin terlibat dalam blok kerajaan sebagai Kerajaan Perpaduan ataupun seperti yang telah disebut sejak dari tahun lalu duduk berunding, berbincang untuk mendapatkan peruntukan tapi lebih daripada itu lihat bagaimana kita boleh bekerjasama untuk membangunkan negara.

“Jadi apa yang disebut oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang itu bagi saya tidak mustahil kerana mungkin di pihak mereka telah tunggu terlalu lama dan disajikan mungkin janji-janji yang tidak dapat direalisasikan. Jadi kita tunggu (pengumuman),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina di Taman Sri Sentosa, Parlimen Lembah Pantai di sini hari ini.

Syed Abu Hussin Hafiz dalam sidang medianya dua hari lepas berkata sokongan itu, yang dijangka diisytihar sebelum pembukaan sesi Parlimen 26 Feb ini, akan melibatkan wakil rakyat khususnya daripada Bersatu dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Melaka.

Beliau berkata, masalah kewangan merupakan faktor utama kerana setiap Ahli Parlimen telah berjanji untuk membela nasib rakyat di kawasan masing-masing namun selepas lebih setahun, tiada bantuan diberikan oleh parti.

Setakat ini, Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar ialah Syed Abu Hussin Hafiz, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sementara itu, mengulas kenyataan Anwar mengenai ahli politik atau pekerja kerajaan yang menerima beberapa pencen untuk memilih hanya satu pencen sebagai memenuhi tanggungjawab moral, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berpendapat perkara itu adalah wajar dan beliau yakin semua yang terlibat bersedia untuk bersama dengan saranan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beliau berkata sebarang pindaan perlu diteliti dan dibawa ke Parlimen terlebih dahulu memandangkan ia tertakluk kepada akta-akta tertentu.

“Sekiranya tidak berlaku satu penyesuaian dari segi cara kita membuat pembayaran (pencen) ini, ia akan mendatangkan kesan yang cukup negatif kepada kewangan negara dalam tempoh 10, 20 tahun yang akan datang.

“Oleh itu saya lihat untuk wakil rakyat mengikut saranan Perdana Menteri tidak menjadi masalah tapi ia adalah terkandung dalam perbincangan yang lebih besar mengenai perbelanjaan negara, kebertanggungjawaban fiskal dan juga kajian semula skim saraan penjawat awam,” katanya. – BERNAMA