Scandinavian Airlines

LOS ANGELES – Seorang lelaki Rusia yang menaiki penerbangan dari Denmark ke Los Angeles (LA) November lalu tanpa tiket, pasport atau visa didapati bersalah di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) kerana menyeludup ke dalam pesawat.

Sergey Ochigava, 46, disabitkan bersalah oleh juri di Mahkamah California pada hari Jumaat.

Ochigava ditahan di Lapangan Terbang LA selepas mereka tidak menemui sebarang rekod tempahan penerbangan atau permohonan visa.

Dia telah berada dalam tahanan sejak November, dan berdepan hukuman penjara lima tahun.

Pendakwa raya berkata, Ochigava berjaya menyeludup masuk melalui kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Copenhagen di Denmark tanpa pas masuk dengan mengekori penumpang melalui pintu selekoh.

Keesokan harinya, dia melalui pintu masuk tanpa dikesan dan menaiki penerbangan Scandinavian Airlines ke Los Angeles.

Menurut dokumen pendakwaan ke atas Ochigava, anggota kru kabin menyedarinya di dalam pesawat kerana dia bergerak di antara beberapa tempat duduk yang tidak ditetapkan.

Dia juga “meminta dua kali makan semasa dalam penerbangan, dan pada satu ketika cuba makan coklat milik anggota kru kabin”.

Seorang pramugari berkata, dia “cuba bercakap dengan penumpang lain dalam penerbangan, tetapi kebanyakan penumpang tidak mengendahkannya”.

Ochigava ditahan dipintu masuk Los Angeles pada 4 November.

Pihak berkuasa tidak menemui sebarang rekod rasmi mengenainya dalam penerbangan Scandinavian Airlines atau mana-mana penerbangan lain.

Dia juga tidak dapat memberikan visa, pasport atau sebarang dokumen perjalanan lain yang diperlukan untuk memasuki AS.

Selepas menggeledah begnya, pegawai menemui kedua-dua kad pengenalan Rusia dan Israel miliknya.

Pihak berkuasa menuduhnya memberikan “maklumat palsu dan mengelirukan tentang perjalanannya ke Amerika Syarikat”, termasuk pada mulanya memberitahu ejen sempadan bahawa dia terlupa pasportnya di dalam pesawat.

Ochigava memberitahu ejen sempadan dia “mungkin mempunyai tiket pesawat … tetapi tidak pasti”, menurut dakwaannya.

Dia juga berkata dia tidak ingat bagaimana dia menaiki penerbangan, mendakwa dia tidak tidur selama tiga hari.

Ochigava akan dijatuhkan hukuman secara rasmi pada 5 Februari depan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast