KUALA LUMPUR – Ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang diramal berlaku di selatan dan pedalaman Sarawak dan timur Sabah sehingga 2 Februari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) berkata, amalan cuaca signifikan itu berdasarkan analisis model cuaca.
Menurutnya, jabatan itu juga telah mengemaskini amaran angin kencang dan laut bergelora berkuat kuasa sehingga Selasa ini.
Dalam kenyataan itu, MetMalaysia mengeluarkan angin kencang timur laut (kategori pertama) berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga esok.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
Kenaikan paras air laut turut dijangka di kawasan perairan tersebut dan berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai.
Angin kencang timur laut (kategori ketiga) melebihi 60 kmsj dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka di kawasan perairan utara Condore sehingga Selasa, 30 Januari ini.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
Manakala angin kencang timur laut (kategori kedua) berkelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka di kawasan perairan selatan Condore, barat Reef North sehingga Selasa ini
.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
Tambahnya, angin kencang timur laut (kategori pertamaa) berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Tioman, Bunguran, timur Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan dan barat Palawan sehingga Selasa, 30 Januari 2024.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini juga berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. – MalaysiaGazette