BAITULMUQADDIS – Israel tidak menghiraukan arahan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya tidak melakukan genosid di Gaza apabila membunuh 165 rakyat Palestin dalam tempoh 24 jam lalu.
Kementerian Kesihatan di Gaza berkata, siri serangan ganas ragim zionis turut menyebabkan 290 cedera dalam serangan di 19 lokasi.
“Ramai orang masih terperangkap di bawah runtuhan kerana penyelamat tidak dapat mencapai mereka,” tambahnya dalam kenyataan.
Agensi berita Wafa melaporkan, sepuluh orang awam Palestin terbunuh dan yang lain cedera dalam serangan Israel ke atas sebuah rumah di kem pelarian al-Shati di sebelah barat Kota Gaza.
Sekurang-kurangnya 23 orang awam turut terbunuh dan yang lain cedera apabila serangan udara Israel melanda sebuah rumah bertingkat di barat kem Nuseirat, di tengah Semenanjung Gaza.
Sekurang-kurangnya 26,422 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak meninggal dunia dan mencederakan 65,087 sejak 7 Oktober. – MalaysiaGazette