Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melambaikan ke arah penyokongnya selepas keputusan dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 SEPTEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan 18 Mac depan bagi pendengaran rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Ini selepas tiga panel hakim dimaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum memutuskan representasi Ahmad Zahid berkaitan pembebasan beliau.

Timbalan Pendakwa Raya, Raya Abdul Malik Ayob sebaliknya memohon kepada mahkamah supaya tarikh rayuan yang telah ditetapkanĀ sebelum ini dikekalkan.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk S.M. Komathy Suppiah mengekalkan tarikh tersebut.

Sepatutnya hari ini ditetapkan sebutan bagi membolehkan pihak-pihak mengemas kini mahkamah berhubung status representasi itu manakala kehadiran Ahmad Zahid hari ini dikecualikan.

Pada awal tahun lalu, Ahmad Zahid mengemukakan representasi kepada AGC bagi pertimbangan untuk tidak meneruskan rayuannya.

Pada 23 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid, yang kini Timbalan Perdana Menteri, daripada semua pertuduhan itu selepas memutuskan bahawa pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Beliau juga memohon dibicarakan terhadap 33 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu didakwa atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri atas tuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai S$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Dalam petisyen rayuan yang difailkan pada 29 Disember tahun lepas, pihak pendakwaan mengemukakan 14 alasan yang memfokuskan kepada penemuan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi mengenai persoalan sama ada terdapat unsur rasuah dalam pemberian dan penerimaan wang dalam kes itu. – MalaysiaGazette