Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini dimaklumkan seramai 50 saksi pendakwaan akan memberi keterangan dalam prosiding rasuah dan penggubahan wang haram membabitkan bekas Ketua Penerangan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Perkara itu disahkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Rozman Ayob pada pengurusan kes hari ini oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi

Peguam bela yang mewakili Wan Saiful, Chetan Jethwani bagaimanapun memohon kepada mahkamah supaya pihaknya boleh mendapatkan pernyataan saksi dalam persiapan untuk mengahadp prosiding itu.

Kata Rasyidah, pendakwaan sudah menyerahkan empat ikatan dokumen dan bakinya sebelum perbicaraan mula.

Rozina menetapkan 25 hingga 27 Mac hadapan sebelum bersambung pada 29 dan 30 April.

Selain itu, tarikh-tarikh lain ditetapkan mahkamah ialah 20 hingga 21 Mei, 19 dan 21 Jun, 24 dan 25 Jun kemudian sambung pada 10 hingga 12 Julai serta 8 dan 9 Ogos 2024.

Wan Saiful sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meminta suapan daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara pra kelayakan bernilai RM232 juta.

Beliau juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek terbabit.

Wan Saiful juga didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindahkan dan menggunakan wang hasil aktiviti haram, antaranya bagi pembelian kereta Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia dan memindahkan ke beberapa akaun termasuk milik Syarikat Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 November 2022, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast