KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menawarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri GOLD bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-50.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bidaan itu akan dibuka dalam talian melalui sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid).

“Bidaan akan bermula pada 1 Februari 2024, jam 12 pagi hingga tarikh tutup pada 5 Februari 2024, jam 10 malam.

“Keputusan pula akan diumumkan pada keesokan hari  dan dalam tempoh 24 jam.

”Tanda indeks yang mempunyai prefix (hadapan) iaitu siri GOLD ini melambangkan sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, penawaran NPI siri GOLD itu merupakan usaha MOT untuk merealisasikan hasrat kerajaan melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah kementerian itu seperti bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar dan subsidi FlySISWA.

Katanya, kaedah penawaran secara bidaan tersebut  tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang ditetapkan melalui Sistem JPJeBid.

Menurut Anthony, harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minimum ditetapkan, dengan nombor bernilai utama (golden) pada RM 20,000, nombor menarik (attractive) pada RM3,000, nombor popular (popular) pada RM 800 dan nombor biasa (running) pada RM 300.

”Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.

”Orang awam dialu-alukan untuk menyokong hasrat kerajaan seperti mana inisiatif yang dimaklumkan dengan menyertai bidaan NPI melalui Sistem JPJeBid.

”Penawaran melalui Sistem JPJeBid ini juga merupakan usaha MOT dan JPJ dalam merealisasikan penyampaian perkhidmatan pendigitalan sepenuhnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette