Nga Kor Ming.

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menangani 11,361 kes di Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) pada tahun lepas.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ia melibatkan 1,331 kes tuntutan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dan 10,030 kes tuntutan Tribunal Pengurusan Strata (TPS), termasuk kes yang didaftarkan dari tahun sebelumnya.

“Sehubungan dengan itu, masyarakat awam perlu mengetahui tentang fungsi TPPS sebagai platform untuk mendengar dan mengadili pertikaian berkaitan perumahan dan pengurusan strata.

“Bermula tahun lepas, TPPS mengambil inisiatif mengadakan sesi libat urus (engagement) bersama Pesuruhjaya Bangunan Pihak Berkuasa Tempatan (COB PBT) untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai fungsi TPPS secara lebih meluas.

“Dalam sesi tersebut, COB turut menjemput badan pengurusan bersama (JMB), perbadanan pengurusan (MC) dan pemilik strata yang ingin mengetahui prosedur pemfailan dan bidang kuasa TPPS,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Kor Ming, kempen kesedaran awam itu turut diadakan di kawasan-kawasan perumahan baharu diserahkan milikan kosong untuk menyampaikan pelbagai maklumat kepada masyarakat.

Tambah beliau, maklumbalas yang diterima secara langsung mengenai kempen itu memberi ruang dan peluang kepada TPPS dalam melaksanakan penambahbaikan demi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

Sementara itu, Kor Ming memberitahu, selaras dengan era perkhidmatan Kerajaan Digital pada masa kini, TPPS melangkah ke hadapan melalui pembangunan sistem e-TPS yang dilancarkan pada 12 September tahun lalu.

Beliau berkata, sejak TPS mula beroperasi pada 2015, semua pemfailan kes TPS adalah secara fizikal melalui kaunter atau pos sahaja.

“Sejak dilancarkan pada September 2023 dan sehingga Disember 2023, sebanyak 1,500 kes difailkan oleh orang awam melalui sistem e-TPS.

“Ia lebih mudah dan menjimatkan masa serta kos kerana pemfailan tuntutan dan pembayaran boleh dilakukan secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter TPPS,” ujarnya. – MalaysiaGazette