Suasana pertandingan Santai Pancing Port Dickson pada musim lalu.

PORT DICKSON – Pertandingan Santai Pancing Port Dickson 2024 bakal menjadi tumpuan pemancing dengan kira-kira 700 peserta dijangka berkumpul di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 17 Februari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Nurhazelin Makli berkata, pertandingan yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) itu memasuki tahun kelima dengan menawarkan hadiah bernilai RM28,800 kepada para peserta.

Menurutnya, acara tersebut bukan sekadar saingan memancing, tetapi turut memainkan peranan dalam mempromosikan keindahan pantai-pantai di sekitar Port Dickson.

”Hadiah utama untuk juara adalah wang tunai sebanyak RM12,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM3,000 dan RM1,000.

”Hadiah wang tunai juga disediakan kepada para pemenang sehingga tempat ke-100 dan ia berkonsep sapu bersih.

“Pelbagai spesies ikan, antaranya daun baru, bayan, dan tetanda, terdapat di pantai ini, memberikan peluang kepada semua peserta untuk bergelar juara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kaunter pendaftaran akan dibuka pada 16 Februari 2024, bermula pukul 3 petang hingga 9 malam.

Katanya, khemah urus setia akan dibuka di lokasi pertandingan bagi memudahkan para peserta membuat pendaftaran dengan yuran penyertaan sebanyak RM70 untuk setiap joran.

Nurhazelin berkata, 500 peserta yang mendaftar awal akan menerima baju-T dari pihak penganjur, sementara peserta bertuah pula berpeluang membawa pulang hadiah bonanza berupa dua buah televisyen berukuran 32 dan 42 inci.

Sementara itu, Nurhazelin memberitahu, Pantai Cahaya Negeri yang sinonim sebagai lokasi memancing diharapkan dapat menarik para pelancong domestik, sekali gus memberi sokongan kepada ekonomi penduduk tempatan.

”Port Dickson dikenali sebagai “Bandar Pelancongan” yang mempunyai 10 pantai dan pelbagai tempat menarik sebagai tumpuan utama pelancong dalam dan luar negara seperti Muzium Tentera Darat, Muzium Kota Lukut, Rumah Api Tanjung Tuan selain terkenal dengan hotel-hotel bertaraf antarabangsa.

”Port Dickson juga kaya dengan pelbagai spesies ikan gred A seperti ebek, bawal pinang, daun baru, gerong belang dan lain-lain.

”Saya menyeru agar para peserta bertanding dengan semangat yang sihat dengan menghormati adat bertanding dan paling penting adalah bercuti bersama keluarga sepanjang program Santai Pancing Port Dickson yang merupakan program pertama bagi tahun ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast