DOHA – Houthi Yaman pada Rabu berkata pergerakan itu melancarkan serangan baharu ke atas kapal pemusnah milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), USS Gravely, di Laut Merah, lapor Sputnik.
“Pasukan tentera laut kami melepaskan peluru berpandu ke arah kapal pemusnah AS, USS Gravely, di Laut Merah,” menurut jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, di televisyen.
Semua kapal AS dan United Kingdom di Laut Merah dan Laut Arab dianggap sebagai sasaran berpotensi serangan Houthi, katanya.
Tentera Yaman akan terus menyekat laluan kapal yang ada kaitan dengan Israel atau yang belayar menuju ke pelabuhan Israel melalui Laut Merah dan Laut Arab sehingga serangan di Semenanjung Gaza dihentikan, menurut jurucakap tentera itu. – Bernama-Sputnik