MELAKA – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas dakwaan memiliki barang kawalan berjadual iaitu 3,025 liter minyak diesel tanpa permit dan lesen dalam sebuah kenderaan, tahun lepas.
Mengikut pertuduhan, Jason Ng Kai Chong, 24, didapati melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan berjadual secara borong atau runcit tanpa lesen.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah stesen minyak di Bachang, Melaka kira-kira 11 pagi, 5 November 2023.
Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama, yang boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Muhammad Ashraf Ashruddin Ahmad Nazri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Dharmafikri Abu Adam menetapkan jaminan RM8,000 dan 20 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – Bernama