'Wilayah Persekutuan Berselawat' merupakan acara pembuka tirai yang menjadi salah satu daripada 28 program yang dirancang sepanjang tahun 2024 sempena sambutan Jubli Emas JAWI,

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan program Wilayah Persekutuan Berselawat Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun JAWI di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur malam ini.

‘Wilayah Persekutuan Berselawat’ merupakan acara pembuka tirai yang menjadi salah satu daripada 28 program yang dirancang sepanjang tahun 2024 sempena sambutan Jubli Emas JAWI, kata satu kenyataan.

Program disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa.

Sesi Tausiyah disampaikan oleh tokoh pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid.

Turut diadakan doa untuk Malaysia serta bacaan selawat dan qasidah yang menampilkan kumpulan nasyid Inteam dan Almawlid.

Program disertai lebih 4,000 orang peserta dalam kalangan penduduk sekitar Wilayah Persekutuan termasuk pegawai dan kakitangan agensi kerajaan dan swasta, para pelajar institusi pengajian tinggi, ahli kariah dan jawatankuasa masjid dan surau, serta wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Program Wilayah Persekutuan Berselawat juga dilaksanakan secara serentak pada malam ini di Masjid Jamek An-Nur Labuan dan Masjid Mahmoodiah Putrajaya sebagai usaha berterusan untuk menyemarakkan aktiviti pengimarahan masjid dan surau dengan pelbagai program yang menyatupadukan masyarakat.

Program ‘Wilayah Persekutuan Berselawat’ amat signifikan dalam situasi semasa yang mendambakan doa dan munajat seluruh rakyat Malaysia agar negara terus diberikan kesejahteraan dan keselamatan selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang mengimpikan kemakmuran dan perpaduan rakyat Malaysia.

Sempena sambutan Jubli Emas JAWI pada 1 Februari 2024, JAWI memilih slogan “Membangun Khaira Ummah” sebagai tema sambutan yang bermaksud matlamat tertinggi yang ingin dicapai selaras dengan visi yang mendambakan kesejahteraan ummah.

Dalam konteks tersebut, azam dan tekad JAWI adalah untuk memperluas fungsi dan peranan selaras dengan kemaslahatan dan dinamika masyarakat iaitu kemampuan beradaptasi dengan perubahan.

Perkara utama yang akan diberikan perhatian ialah proses pengukuhan syariah dan akhlak serta pemantapan akidah berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast