Hentian Bas di KOMTAR, seharusnya tampak lebih moden sesuai dengan taraf Pulau Pinang sebagai negeri kaya dan sejahtera.

MALAYSIA adalah salah satu negara yang paling banyak dikunjungi para pelancong asing di dunia. Menurut blog kembara onestep4ward.com, Malaysia menempatkan diri di tangga ke 12 di peringkat dunia manakala di peringkat Asia Tenggara di tempat kedua selepas Thailand.

Media berita tempatan, Awani melaporkan bahawa Kuala Lumpur diiktiraf sebagai bandaraya keenam paling dikunjungi, mengalahkan kota-kota besar lain seperti New York, Istanbul dan Seoul.

Memiliki lapangan terbang dengan jaringan penerbangan ke merata pelusuk destinasi, kemudahan pengangkutan awam berasaskan keretapi atau rel (LRT dan MRT) yang menjangkau ke banyak tempat dan bersepadu serta mercu tanda dunia yang terkenal seperti Menara Berkembar Petronas, TRX dan Menara Merdeka 118, tidak hairanlah ibu kota negara menjadi tumpuan pelancong sedunia.

Selain Kuala Lumpur, Pulau Pinang seringkali menonjol sebagai antara destinasi pelancongan paling popular di Malaysia. Pulau yang dijuluki dengan nama Pulau Mutiara ini memiliki kota bersejarah Georgetown yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan UNESCO, jambatan terpanjang di Asia Tenggara yang merentangi laut serta syurga makanan yang menggamit para pengunjung.

Di media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, tanda pagar #Penangelokdah sering digunapakai. Tapi betulkah ‘Penang elok dah’?

Saya telah beberapa kali melancong ke Pulau Pinang dengan memandu sendiri serta menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti lapangan terbang, hentian bas dan stesen keretapi di Penang Sentral.

Apabila seseorang meletakkan diri sebagai seorang pelancong yang menggunakan kemudahan pengangkutan awam, Pulau Pinang tidaklah seelok kata tanda pagarnya.

Pertama sekali, apabila seseorang pelancong itu terbang ke Pulau Pinang, lapangan terbangnya walaupun selesa, tidak menjanjikan pengalaman yang baik dari segi ketersambungannya dengan pusat kota Georgetown yang terletak lebih kurang 20km jaraknya.

Perkhidmatan LRT/MRT sememangnya tidak wujud di Georgetown, kota yang dianggap kedua atau ketiga terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur mahupun Johor Bahru. Bagi sebuah destinasi yang popular, tidak wujud perkhidmatan bas yang langsung menghubungkan lapangan terbangnya dengan kota Georgetown.

Perkhidmatan bas yang tersedia adalah bas henti-henti yang sememangnya lambat dan tidak efektif dengan kekerapan yang menyedihkan, sekitar 30 minit – 45 minit. Lapangan Terbang Senai di Johor Bahru pun masih ada menyediakan perkhidmatan bas lapangan terbang yang menghubungkan penumpang langsung dari Senai ke JB Sentral.

Apabila pelancong memilih untuk menaiki bas dari lapangan terbang, hentian utama di Georgetown adalah di Bangunan KOMTAR yang usang, jelik dan terperangkap di era 80an-90an. Gedung yang usang, dimamah waktu serta tidak dilengkapi penghawa dingin tidak seiring dengan taraf Pulau Pinang sebagai Pulau Mutiara Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Pastinya ini akan menimbulkan persepsi yang kurang baik jika dibandingkan dengan KL Sentral, JB Sentral atau Kuching Sentral yang jauh lebih moden, mewah, selesa dan mesra pengguna. Benar, sebagai destinasi yang dikatakan utama di Malaysia, memiliki taraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pula tu, hentian bas di KOMTAR adalah melangkaui apa yang boleh didefinisikan sebagai memalukan.

Kelihatan dinding luaran Bangunan KOMTAR yang dimamah usia, tidak sesuai dengan tarafnya sebagai sebuah negeri kaya dan maju.

Apabila pelancong memilih untuk menaiki bas ke Pulau Pinang, terdapat dua hentian utama iaitu Penang Sentral di Tanah Besar dan Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong (TBSN) di bahagian pulau. Kita bahaskan Penang Sentral kemudian dan sekarang kita tumpukan kepada TBSN. Benar, TBSN telahpun diperbaharui dan kini keadaannya lebih baik tidak separah dulu.

Namun, sebagai terminal bas bagi sebuah kota Tapak Warisan Dunia UNESCO serta kota kedua atau ketiga terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur, ianya tidak mesra pengguna tanpa dilengkapi papan tanda sewajarnya. Kalau tidak bertanya kepada para petugas yang sepertinya mahu tidak mahu bekerja, tidak naik baslah seseorang itu gamaknya.

Bayangkan kalau pelancong asing terpaksa menghadapi suasana tidak mesra pelanggan ini. Jauh sekali perbezaan dengan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) mahupun Terminal Bas Larkin di Johor Bahru. Terminal Bas Kuching, Kuching Sentral pun kelihatan lebih teratur dan gah dibanding TBSN.

TBSN juga tidak memiliki pengangkutan awam sambungan langsung ke kota Georgetown, melainkan bas henti-henti, menyebabkan pelancong berkemungkinan besar terpaksa menggunakan perkhidmatan Grab.

Bagi yang menggunakan perkhidmatan keretapi ETS, hentian terakhir adalah di stesen Butterworth yang terletak bersebelahan dengan Penang Sentral. Stesen Butterworth adalah stesen yang selesa dan agak mesra pengguna serta memberikan kesan yang baik pelancong terhadap negeri pulau mutiara ini.

Seseorang pelancong ataupun pengembara boleh berjalan kaki dari stesen Butterworth ke Penang Sentral tanpa kesulitan yang besar. Akan tetapi, Penang Sentral yang menyambungkan para pelancong dengan perkhidmatan feri ke pulau, walaupun selesa, masih dalam keadaan menyedihkan. Tapak projek terbengkalai di sekitar Penang Sentral masih kekal kelihatan walaupun terminal ini sudah 5 tahun beroperasi memberikan kesan yang kurang baik kepada sesiapa sahaja yang melihatnya.

Penang Sentral dengan tiang-tiang struktur yang tidak siap merosakkan suasana.

Usaha menaik taraf terminal feri di Penang Sentral boleh dipuji. Perkhidmatan feri juga agak kerap dengan feri yang baru, setiap 30 minit (walaupun patut ditambah kekerapannya kepada setiap 15 minit). Apabila feri dinaiki dan penyeberangan telah lengkap, para pelancong akan tiba di Pangkalan Feri di sebelah pulau, Pangkalan Raja Tun Uda.

Keadaan terminal bagi para penumpang yang baru tiba ke Georgetown dari Seberang Prai kelihatan tua, usang, dengan gerai-gerai yang tidak lagi beroperasi serta tidak diselenggarakan dengan baik selayaknya sebuah negeri yang dikatakan maju tumpuan para pelancong.

Sememangnya, walaupun Pulau Pinang dikatakan antara negeri paling maju di Malaysia dengan pentadbiran yang dicanang sebagai terbaik, terminal-terminal pengangkutan awam terutamanya di Georgetown boleh bikin warga tempatan tersipu malu dan para pelancong terkesima. Banyak lagi yang perlu dilakukan agar ia setaraf dengan tahap kemajuan negeri yang seringkali dihebohkan.

Seringkali terminal bas di Kota Bharu ditertawakan (kerana memang keadaannya tidak begitu baik) tapi janganlah lupa bahawa di Pulau Pinang keadaan tidaklah seelok mana pun.

Johor Bahru kini sedang giat membangunkan sistem Rapid Transit System (RTS) seperti LRT/MRT menghubungkan Malaysia dan Singapura. Pulau Pinang bila lagi?

Pulau Pinang telah ditadbir oleh kerajaan negeri yang sama lebih dari sedekad lamanya. Tambahan pula, kerajaan yang mentadbir Pulau Pinang kini adalah dari pihak yang tidak berbeza dengan kerajaan yang mentadbir di peringkat persekutuan. Apakah alasan untuk tidak menaiktaraf perkhidmatan pengangkutan awam di negeri pulau mutiara ini?

Tiba masa sesuatu dilakukan bagi memastikan Pulau Pinang benar-benar elok bukan hanya sekadar tanda pagar semata-mata.

 

Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli
Profesor Madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan felo penyelidik di Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Universiti Utara Malaysia

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast