Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah cadangan membenarkan pengambilan pelajar asing sebagai tenaga mahir.

Presiden CUEPACS Datuk Dr. Adnan Mat berkata, tindakan membenarkan pelajar asing untuk mengisi peluang pekerjaan di sektor teknologi tinggi di Malaysia ibarat kata pepatah ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan’.

“Ia juga sebagai satu langkah ke belakang sekiranya dasar ini hendak dilaksanakan oleh kerajaan. Sedangkan kita sedang berusaha untuk melahirkan graduan-graduan yang berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan pasaran.

“Adalah tidak adil sekiranya kita membenarkan pelajar asing untuk menerokai peluang pekerjaan yang sebenarnya boleh diisi oleh rakyat tempatan sendiri.

“Cadangan tersebut boleh mengakibatkan graduan tempatan menerima gaji yang lebih rendah selain meningkatkan kadar pengangguran rakyat tempatan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Adnan berkata, permasalahan utama ketika ini adalah ramai pekerja mahir tempatan yang berhijrah ke luar negara kerana ditawarkan skim gaji yang lebih munasabah dan berbaloi.

Majikan tempatan lebih sanggup membayar gaji yang tinggi kepada pekera asing sedangkan kualiti pekerja tempatan adalah lebih baik.

Katanya, berlaku pilih kasih dalam isu upah mengakibatkan ramai rakyat Malaysia memilih untuk berhijrah ke luar negara daripada berkhidmat di tanah air sendiri.

Menurutnya, majikan sanggup membayar sehingga RM4,000 sebulan kepada pekerja mahir asing tetapi untuk pekerja mahir tempatan mereka tawarkan gaji permulaan dibawah RM2,000.

“Kerajaan perlu menguatkuasakan gaji minimum yang lebih berbaloi kepada pekerja bekemahiran tinggi tempatan bagi menyokong dasar-dasar pembangunan sumber manusia yang dilaksanakan oleh institusi pengajian tinggi tempatan.

“Tiada gunanya jika kita melahirkan sumber manusia yang berkemahiran tinggi tetapi pasaran pekerjaan untuk mereka tidak menawarkan gaji yang munasabah.

“Adalah tidak adil jika gaji minimum yang ditawarkan kepada pekerja mahir tempatan rendah tetapi dalam masa yang sama majikan di luar sana sanggup mengambil pekerja asing dengan skim gaji yang lebih tinggi,” katanya.

Tambah beliau, data yang dikumpulkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) boleh dijadikan sandaran kepada kerajaan untuk menganalisis keupayaan sumber tenaga negara yang mampan dan kadar upah yang bersesuaian untuk dikecapi oleh rakyat Malaysia di masa hadapan.

Pada 29 Jan lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz dilaporkan berkata pihaknya mempertimbangkan membenarkan pelajar asing menamatkan pengajian di institut tempatan bekerja di Malaysia untuk menampung kekurangan tenaga mahir di beberapa sektor termasuk elektrik dan elektronik.-MalaysiaGazette