Ketua Pengarah Imigresen Malaysia (DKPI), Datuk Ruslin Jusoh menunjukkan keadaan depot tahanan Bidor pada Sidang Media mengenai di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 02 FEBRUARI 2024.

PUTRAJAYA – Seramai empat daripada 131 pendatang asing tanpa izin warga Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Imigresen di Bidor, Perak semalam ditangkap hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, mereka ditahan oleh polis di kawasan Bidor kira-kira jam 4 petang dalam operasi bersepadu memburu dan menjejaki tahahan itu dilancarkan tengah malam tadi.

Beliau yang tidak menolak kemungkinan tahanan tersebut telah merancang lebih awal untuk melarikan diri memberitahu, warga Rohingya terbabit telah dibawa ke balai polis untuk proses pengesahan suspek untuk tindakan lanjut.

“Di depot tahanan sementara di Bidor, kita mempunyai seramai 566 orang tahanan warga asing dan seramai 297 orang daripadanya merupakan etnik Rohingya diikuti warga Myanmar (110 orang), Indonesia (82 orang), warga Bangladesh (22 orang) dan selebihnya warga lain-lain.

“Hasil daripada kejadian itu, kita mendapati baki tahanan seramai 435 orang di Depot Sementara Bidor itu tidak melarikan diri semasa kejadian dan mereka kekal di situ,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), di sini, hari ini.

Menurut Ruslin, daripada 131 tahanan yang meloloskan diri itu,  115 orang adalah etnik Rohingya, Myanmar (15 orang) dan Bangladesh (seorang).

Warga Bangladesh tersebut meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Bidor.

Sementara itu, Ruslin memberitahu, dalam kejadian jam 9.30 malam semalam, tahanan di depot tersebut merempuh jeriji besi beramai-ramai sebelum menyerang 14 pegawai JIM dan 28 anggota Pasukan Sukarelawan (Rela) dengan membaling batu ke arah mereka.

Beliau berkata, tahanan terbabit melarikan diri menerusi pagar depot dan memasuki ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira  500 meter dari depot berkenaan yang menuju ke Lebuhraya Utara Selatan kira-kira dua kilometer dari situ.

Menurut Ruslin, baki tahan yanvg masih bebas tidak boleh melarikan diri jauh dan anggota JIM dengan PDRM telah mengepung mereka. – MalaysiaGazette