Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam jalan, termasuk lebuh raya di sekitar pusat bandar raya, akan ditutup kepada kenderaan secara berperingkat pada malam Sabtu ini sempena Larian Anak Sarawak Half Marathon 2024.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, lebih 7,000 peserta dari dalam dan luar negara dijangka menyertai larian tersebut..

Beliau berkata, larian itu akan membabitkan pusat bandaraya dan dua lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) serta Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

“Bagi tujuan kelancaran acara Larian Half Marathon itu, enam jalan akan akan ditutup mulai jam 7 malam sehingga 12.01 tengah malam esok manakala pelepasan peserta larian akan bermula 8.10 malam bagi kategori 21 kilometer (KM) diikuti peserta kategori 11KM dan seterusnya 6 KM.

“Jalan yang terlibat penutupan itu adalah Jalan Ampang bermula dari persimpangan Jalan Sultan Ismail hingga persimpangan Jalan Yap Kwan Seng kedua-dua arah; Jalan Yap Kwan Seng ke Jalan Ampang; Jalan Sultan Ismail dari arah Bukit Bintang ke persimpangan Jalan Ampang.

“Jalan Raja Abdullah ke persimpangan Jalan Sultan Ismail; Jalan Sultan Ismail ke Bukit Bintang dilencongkan ke Jalan TAR; Jalan Tun Razak ke Jalan Ampang ke arah KLCC dilencongkan ke Jalan Binjai; sepanjang Lebuhraya AKLEH di kedua-dua arah juga akan ditutup,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Allaudeen, selain itu terdapat acara sampingan iaitu pertunjukan payung terjun oleh VAT69 pada jam 7 malam esok. Seng.

Tambah beliau, seramai 64 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur akan terlibat dalam tugas di lapangan bagi memastikan lalu lintas lancar sepanjang acara berlangsung.

“Para pengguna jalan raya dinasihatkan agar tidak melalui laluan yang terbabit dalam penutupan penuh bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan sila mengikut arahan anggota trafik bertugas di lokasi,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette