Fahmi Fadzil

KUANTAN – “Jangan jaga tepi kain parti orang lain!”.

Itu teguran keras Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil merujuk kepada kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim baru-baru ini.

Beliau menegaskan kenyataan Hassan itu tidak mewakili parti dan ia dibuat atas kapasiti peribadi.

Saya rasa kita semua perlu bermuhasabah dan tidak terlalu pantas untuk memberi komen. Kalau kita buat macam tu, ada pihak yang akan mengambil kesempatan dan ia tidak akan membantu.

“Beliau (Hassan) tidak patut keluar kenyataan seperti itu. Dia (kalau) nak suruh saya letak jawatan tu lainlah. Tapi, jangan komen mengenai parti orang lain. Ia sesuatu yang tidak baik untuk dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian diminta mengulas berkenaan kenyataan Hassan baru-baru ini selepas menjalankan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) yang berakhir di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Bukit Goh, di sini hari ini.

Baru-baru ini Ahli Parlimen PKR berkata, UMNO perlu diterajui nakhoda baharu bagi mendapatkan semula undi golongan Melayu.

Kenyataan tersebut mengundang pelbagai persepsi daripada banyak pihak sehingga ke hari ini termasuk dalam kalangan penyokong kedua-dua parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan itu.

“Kita hormat parti-parti sahabat dan sekiranya ada apa-apa teguran, beliau boleh sampaikan kepada pimpinan. Boleh diuruskan dengan baik,” tambah Fahmi lagi.

Jelas Fahmi, Kerajaan Perpaduan kini memberi tumpuan terhadap agenda ekonomi rakyat, selain kestabilan politik. Justeru, semua pihak harus bekerjasama dalam merealisasikannya. – MalaysiaGazette