KUALA TERENGGANU – Seorang juruukur bahan kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan menerima rasuah wang tunai dan sebuah motosikal berjumlah RM30,000.

Tertuduh, Malike Mohamed, 52, didakwa atas lapan pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM14,500 daripada wakil syarikat AMZ Sepakat Sdn Bhd Azman Yusof sebagai balasan melancarkan proses tuntutan bayaran interim yang dibuat oleh syarikat tersebut kepada UniSZA, di sebuah bank di sini, antara 15 Mei 2019 hingga 6 Julai 2020.

Malike juga didakwa menerima sebuah motosikal Yamaha Y15ZR daripada Azman pada Ogos 2019, walaupun mengetahui terdapat perhubungan antara pemberi dan tugasan rasminya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 serta mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob menawarkan jaminan RM12,000 bagi semua pertuduhan serta tiga syarat tambahan, iaitu tidak mengganggu saksi pendakwaan, melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Hakim Mohd Azhar Othman membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin, selain membenarkan syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 10 Mac ini untuk sebutan semula kes dan pengurusan dokumen. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast