Fadhlina Sidek.

BAYAN LEPAS –  Satu garis panduan akan dikeluarkan selepas Kementerian Pendidikan (KPM) mengadakan perbincangan bersama Kementerian Komunikasi berhubung isu pemilikan akaun TikTok  kanak-kanak berusia bawah 13 tahun.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya perlu mendapat maklumat penyelarasan mengenai perkara itu sebelum mengeluarkan sebarang garis panduan.

“Itu nanti kita minta penyelarasan daripada Menteri Komunikasi, (Fahmi Fadzil) memandangkan saya fikir kita memerlukan maklumat dan pedoman daripada beliau supaya kita juga boleh tengok kesan dan impaknya kepada anak-anak kita.

Fadhlina (tengah) menyampaikan Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang Tabika Kemas Daerah Barat Daya dan Timur Laut di Hotel Raia, Bayan Lepas hari ini.

“Saya pasti ada garis panduan yang perlu dipatuhi bagi memastikan kawalan itu berlaku khususnya daripada ibu bapa,” katanya selepas menghadiri majlis apresiasi Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Barat Daya dan Timur Laut di Hotel Raia, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Fadhlina turut menyampaikan Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang Tabika Kemas Daerah Barat Daya dan Timur Laut kepada 107 penerima dengan seramai 824 kanak-kanak menerima sijil graduasi masing-masing pada majlis tersebut.

Media sebelum melaporkan, Kementerian Komunikasi akan mempertimbangkan soal pemilikan akaun media sosial TikTok oleh kanak-kanak.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pengurusan platform media sosial itu susulan garis panduan komuniti bagi laman itu, kanak-kanak bawah usia 13 tahun adalah tidak dibenarkan memiliki akaun TikTok.

“Kita akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara jika perlu mengambil tindakan perundangan terhadap pengurusan TikTok berhubung pemilikan akaun oleh kanak-kanak, seperti yang dilakukan negara luar.

“Kebimbangan muncul berikutan beberapa trend yang tidak sesuai dijadikan ikutan kanak-kanak, dilihat tular di media sosial,” katanya. – MalaysiaGazette