Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Datuk Ambiga Sreenevasan digesa untuk tidak bersuara berkaitan pengumuman Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa, bekas Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) itu hanya mengeluarkan bantahan secara kecil semata-mata hanya untuk dilihat ‘bersuara’.

Katanya, Ambila akan terus menyokong Pakatan Harapan (PH) dan tidak akan membuat bantahan jalanan seperi yang pernah dilakukan Bersih 2.0 di bawah kepimpinan beliau sebelum ini.

“Datuk Ambiga, saya rasa anda pun baik senyap. Anda cuma membantah secara minimum agar nampak ada sedikit suara, sampai masanya anda dan kawan-kawan akan sokong PH juga.

“Buktinya, anda dan kawan-kawan tidak akan bantah di jalanan sebagaimana anda anjurkan himpunan Bersih dulu. Betul tak Datuk Ambiga?” soal beliau di media sosial.

Media sebelum ini melaporkan, Ambiga menggesa pemimpin PH
untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan susulan pengumuman pengampunan separa terhadap Najib.

Beliau berkata, parti berkenaan hanya perlu mendiamkan diri dan jika bersuara ia akan mengganggu untuk mempertahankan perkara yang tidak dapat untuk dipertahankan.

“PH tolonglah, jangan keluarkan sebarang kenyataan lagi. Senyap sahaja,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, X pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ambiga turut menegaskan agar PH tidak lagi berbicara tentang perjuangan menentang rasuah.

“Jangan sesekali bercakap tentang perjuangan menentang rasuah lagi. Kalian telah membuang masa, tenaga dan niat baik kami,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu.-MalaysiaGazette