Jeyenderan menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pengangkutan bagi tindakan segera dalam industri perkapalan.

PUTRAJAYA – Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network, Datuk Seri R Jeyenderan hari ini menyerahkan memorandum berkaitan isu-isu sektör perkapalan tempatan dengan Lembaga Perlabuhan Klang (LPK) yang didakwa sedang meruncing ketika ini.

Memorandum diserahkan beliau kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini dengan harapan segala isu dan cabaran sedang dihadapi pemain industri sepertinya segera ditangani.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, kata Jeyenderan, beliau terpaksa menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kerana beberapa usaha beliau tidak mendapat maklum balas positif.

“Saya harap dapat respons positif selepas menteri melihat memorandum yang saya serahkan pagi ini. Isu-isu yang telah saya suarakan ini bukanlah berunsur peribadi sebaliknya untuk kebaikan semua dalam industri perkapalan.

“Akibat prosedur dan kekurangan fasiliti di Pelabuhan Klang, negara boleh kerugian besar setiap bulan kerana tidak ada kapal lagi berlabuh di pelabuhan tersebut. Semoga usaha saya ini akan mendapat perhatian dan kita dapat mara secepat mungkin,” katanya.

Antara kandungan memorandum itu untuk perhatian Anthony ialah:

• Isu melibatkan keengganan LPK menangani kapal bersaiz lebih 185 meter, walaupun ia terbukti boleh dilaksanakan sebelum ini. Wujudkan pekeliling untuk mengelakkan masalah komunikasi dan meningkatkan pendapatan.

• Kekangan berlabuh di Pelabuhan Selatan untuk kapal besar kerana masalah pencahayaan yang menyebabkan kerugian. Menggesa penyelesaian segera untuk memaksimumkan pengeluaran dan meminimumkan perbelanjaan yang tidak perlu. 

• Isu kerja-kerja mendalamkan laut di Pelabuhan Kurap, Klang yang menyebabkan paras air laut semakin cetek. Mengkaji semula proses mendalamkan pelabuhan, SOP dan potensi kerja-kerja penyelenggaraan.

• Menggesa LPK menaik taraf SOP dengan menekankan kepentingan untuk pembangunan berterusan operasi pelabuhan. Mencadangkan penggubal undang- undang mengkaji semula garis panduan komunikasi dan dasar-dasar untuk kapal berlabuh. 

• Melahirkan keprihatinan sebagai pelabur jangka panjang dan ‘advocate’ untuk menambah baik pelabuhan, menggesa ketelusan dan kritikan membina untuk masa depan industri yang lebih baik. 

• Menekankan kepentingan untuk perdagangan antarabangsa beroperasi 24/7, memandangkan kapal masuk silih berganti. Menekankan keperluan untuk semua kemudahan menepati kualiti operasi dan pelaburan kewangan yang dibuat.

• Menyeru penggubal undang-undang dan pemimpin industri untuk mencari penyelesaian jangka panjang demi kemakmuran dan masa depan perniagaan, selaras dengan peranan industri dalam menjana kekayaan dan ekonomi negara. 

Dalam pada itu, Jeyenderan mendedahkan andainya isu-isu ini tidak dapat ditangani beliau akan cuba berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa hadapan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast