Anggota polis yang dilanggar ketika buat rondaan di di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor.

IPOH – Kurang 24 jam insiden seorang pegawai polis cedera dilanggar sebuah kereta ketika melakukan rondaan di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor malam tadi, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pasangan itu, yang sudah bertunang serta berumur 33 dan 34 tahun, ditahan siang tadi hasil maklumat orang awam.

“Polis turut merampas sebuah kereta yang digunakan kedua-dua suspek pada hari kejadian dan saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah THC serta mempunyai 17 rekod berkaitan kesalahan jenayah dan narkotik,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, suspek wanita juga memiliki dua rekod jenayah dan kedua-duanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk permohonan reman manakala kertas siasatan akan dilengkapkan serta dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin bagi tujuan pendakwaan.

Insiden pada 7.30 malam semalam menyaksikan anggota polis berusia 34 tahun itu dilanggar dengan sebuah Proton Iriz biru sebanyak dua kali menyebabkan beliau mengalami kecederaan dan pemeriksaan mendapati tulang rusuk serta tulang bahu mangsa patah.

Yahaya berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast