Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu meneliti mekanisme komprehensif memantau pergerakan keluar masuk pelancong asing susulan langkah pengecualian visa 30 hari diperkenalkan pada 1 Disember tahun lepas untuk kepada China dan India.

Aktivis Politik, Shahir Adnan berkata, sasaran lima juta pelancong dari negara berkenaan merupakan satu jumlah yang besar dan ia sudah pasti memerlukan pemantauan lebih berkesan.

“Kementerian Pelancongan giat menyusun strategi dalam usaha meningkatkan jumlah pelancong dari China sekaligus, berhasrat mencapai sasaran lebih lima juta pengunjung dari negara itu bagi tahun ini.

“Dari sudut ekonomi, ia tentunya memberikan sumber pendapatan kepada negara. Namun keadaan di mana mungkin ada pihak menyalahgunakan pengecualian visa untuk bekerja secara haram, besar kemungkinan boleh berlaku.

“Mungkin ada yang akan berada di sini melebihi 30 hari. Oleh sebab itu, kerajaan perlu untuk meningkatkan pemantauan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, berdasarkan bancian pada 2020, penduduk di Kuala Lumpur sahaja didapati memiliki lebih kurang dua juta orang.

“Bayangkan jumlah pelancong tanpa visa yang akan datang ke negara kita lebih dua kali ganda penduduk di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Shahir Adnan

Dalam pada itu, Shahir berkata, Kementerian Pelancongan perlu memberi data dan statistik anggaran pendapatan yang dijana, berbanding perbelanjaan mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan.

Malah, katanya, tindakan yang tuntas dan menyeluruh perlu dilaksanakan agar negara ini terutama di bandar-bandar besar tidak dipenuhi dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) versi baharu, iaitu pelancong asing tanpa izin yang tinggal melebihi tempoh ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast