Pengarah jabatan Persekutuan berkaitan pelancongan di Melaka (kiri) dan seorang pengarah syarikat direman lima dan empat hari bermula hari ini di Mahkamah Ayer Keroh bermula bagi membantu siasatan selepas disyaki bersubahat membuat tuntutan palsu tahun lalu.

MELAKA – Seorang pengarah jabatan Persekutuan berkaitan pelancongan di Melaka dan seorang pengarah syarikat direman lima dan empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas disyaki bersubahat membuat tuntutan palsu tahun lalu.

Perintah reman sehingga 9 Februari dan 10 Februari itu dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni terhadap pengarah jabatan berusia 42 tahun dan pengarah syarikat berumur 41 tahun itu.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini pada pukul 8.57 pagi memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga menaiki dua kenderaan SPRM.

Difahamkan, kedua-dua suspek ditahan antara pukul 2.40 dan 2.45 petang semalam di pejabat SPRM Melaka di Alai selepas dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan.

Ia selepas dua lelaki itu disyaki bersubahat membuat tuntutan palsu berkaitan pembekalan bagi sebuah program jabatan yang diadakan di sekitar Melaka dengan mengemukakan invois yang mengandungi butir matan palsu.

Invois tersebut bagi memperoleh tuntutan pembekalan berjumlah RM49,900 sedangkan ia tidak pernah dilaksanakan tahun lepas.

Penahanan dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad mengesahkan penahanan berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast