Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki disyaki warga tempatan telah ditemui dalam longkang di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) di Gombak hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, mayat lelaki itu tidak dapat dipastikan bangsa dan identitinya.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan polis di lokasi mendapati mayat itu lengkap berpakaian dan berada dalam longkang dalam keadaan mengiring.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Pihaknya menerima panggilan kecemasan lebih kurang pukul 11.08 pagi daripada orang awam memaklumkan penemuan mayat lelaki tersebut di Kilometer 5.1, Lebuhraya DUKE dari Gombak menghala ke Sentul.

Tambah Abang Kaderi, pemeriksaan lanjut juga oleh pasukan forensik menemui kecederaan pada bahagian kaki dan badan mangsa.

Menurutnya, polis turut menjumpai barang-barang dipercayai milik mangsa seperti topi keledar, seluar, telefon bimbit dan dompet di tempat kejadian.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat,” ujarnya.

Kes diklasifikasikan disiasat sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Sarjan Sarjeet Singh Pretam Singh di talian 019-200 4310 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di Talian 03-61262222.- MalaysiaGazette