Loh Kah Yong

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP hanya menjadi ‘boneka bisu’ berhubung isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak dan siasatan polis terhadap Tony Pua.

Setiausaha Agong Gerakan, Loh Kah Yong berkata, DAP jangan hanya bising semasa menjadi pembangkang sebaliknya berdiam diri apabila sudah menduduki kerajaan dan ada jawatan.

“Sikap sebegini sangat memalukan, walhal sebelum ini pemimpin PH terutamanya DAP antara yang banyak menghasut rakyat dan menjadikan isu 1MDB dan label kleptokrasi sebagai modal kempen pada pilihan raya umum 2018 dan 2022.

“Mana perginya suara-suara bising Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang? Adakah Kit Siang lupa ‘kata laluan’ untuk blog dia? ” sindirnya dalam satu kenyataan hari ini.

Soal Kah Yong, di mana pendirian pemimpin DAP apabila Anthony Loke yang merupakan Setiausaha Agung DAP mengeluarkan kenyataan meminta bertenang dan menggesa akar umbi tidak mengkritik isu pengampunan tersebut.

“Saya berasa hairan, adakah mereka ini berubah 180 darjah kerana takut kehilangan jawatan sehingga sanggup menggadaikan prinsip dan maruah serta abaikan janji kepada pengundi?

“Paling ketara, Akta Hasutan kini telah dikembalikan oleh pihak kerajaan terhadap pesaing politik kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast