KUALA LUMPUR – Mejar Jeneral Profesor Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin telah dilantik sebagai Ketua Pengakap Negara Ketujuh.
Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Agung Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), telah menyampaikan watikah pelantikan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
“Pelantikan beliau sebelum ini diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan telah berkuat kuasa pada 15 Disember lalu.
“Pelantikan Mohd. Zin adalah hasil daripada satu proses pemilihan yang menyeluruh, mengambil kira teladan kepimpinannya, dedikasi, serta sumbangan yang besar beliau dalam perkhidmatan ketenteraan, perubatan, dan pendidikan sepanjang kariernya,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pelantikannya, Mohd. Zin berkata, amanah yang diberikan kepadanya itu akan digalas sebaik-baiknya dalam melonjakkan lagi pencapaian PPM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Saya akan menggalas amanah ini dengan penuh komitmen dan integriti terutama dalam mempersiapkan golongan muda-remaja untuk mendepani cabaran era baharu.
“Saya berharap seluruh warga PPM dapat bergerak sederap dalam memperkukuhkan peranan pengakap untuk menerapkan nilai integriti, disiplin, kepimpinan dan daya saing bagi melahirkan pemimpin masa depan negara,” katanya.
Mohd. Zin sebelum ini memangku tugas Ketua Pengakap Negara menggantikan Allahyarham Tan Sri Shafie Mohd Salleh yang meninggal dunia pada 11 September 2019.