Tun Fuzi (baju putih) merasmikan peluncuran pembinaan bangunan baharu Mahkamah Rendah Syariah Daerah Timur Laut di Jalan Batu Gantung, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang memperuntukan RM15 juta bagi pembinaan bangunan baharu Mahkamah Rendah Syariah Daerah Timur Laut di sini.

Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Datuk Muhamad Abdul Karim Wahab berkata, pembinaan bangunan tiga tingkat itu akan bermula April depan dan dijangka siap pada 2026.

Jelas beliau, pembinaan Mahkamah Rendah Syariah Daerah Timur Laut itu berinspirasikan dari bangunan Digital Library di Jalan Masjid Negeri selain digabungkan dengan beberapa elemen dari bangunan lama dan modern Islamik.

Datuk Muhamad Abdul Karim.

“Bangunan tiga tingkat itu bakal dilengkapi dengan dua Dewan Perbicaraan, satu Dewan Serbaguna, Bilik Mediasi, Bilik Peguam, Bilik Pendakwa, Bilik Perbincangan, Bilik Hadhonah serta Bilik Barang Kes.

“Dengan terbinanya bangunan mahkamah itu nanti, maka lengkaplah keseluruhan bangunan Mahkamah Rendah Syariah di setiap daerah seluruh Pulau Pinang.

“Ia juga secara tidak langsung membuktikan komitmen kerajaan dalam memertabatkan institusi Islam di negeri Pulau Pinang,” katanya hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak merasmikan Majlis Peluncuran Bangunan Mahkamah Rendah Syariah Daerah Timur Laut di Kompleks Kehakiman Syariah Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, mahkamah syariah melalui institusi Jabatan Kehakiman Syariah berperanan menyelesaikan segala permasalahan dan kekhilafan mengikut peraturan perundangan ditetapkan dalam perlembagaan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004.

Jelas beliau, kerajaan negeri akan sentiasa menitik beratkan penerapan ikatan perpaduan dalam elemen masyarakat majmuk di negeri ini bagi terus memacu Pulau Pinang ke arah kecemerlangan serta membangun agenda utama Malaysia Madani untuk membina ketamadunan masa depan negara dan Pulau Pinang.

“Saya juga berharap setiap institusi Islam di negeri ini berganding bahu dalam menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi orang Muslim, supaya semua institusi terbabit tidak dipandang serong oleh masyarakat.

“Kita semua sedia maklum apabila timbul isu berkaitan permasalahan mengenai agama Islam ini, masyarakat lebih cepat menempelak daripada mempertahankan, walaupun ia adalah tohmahan.

“Justeru, sebagai penegak institusi agama Islam di negeri ini, khususnya Jabatan Kehakiman Syariah dan semua agensi agama Islam hendaklah meneruskan sistem penyampaian perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat di sini sejajar dengan kepimpinan kerajaan dalam usaha membangun agenda utama Malaysia Madani dan Visi Penang2030,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast