M. Kumar merasmikan Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Johor di Plaza Tol Kempas hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis Johor akan mengambil tindakan tegas mana-mana pegawai atau anggotanya yang terlibat dalam kes jenayah, salah laku atau rasuah.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar berkata, ini termasuk kes pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000 membabitkan lapan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam yang masih dalam siasatan.

Bagaimanapun, hukuman yang akan dikenakan itu bergantung pada hasil siasatan.

Ketika ini semua suspek masih direman bermula semalam sehingga Jumaat ini.

“Kita tidak akan berkompromi dalam isu intergirti dan rasuah. Saya sebagai Ketua Polis Johor akan memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dalam salah laku, jenayah dan isu intergirti atau rasuah.

“Hanya segelintir yang terlibat dan mereka ini seperti setitik nila yang merosakkan susu sebelanga dan perlu disingkirkan daripada pasukan ini,” katanya ketika diminta mengulas tangkapan lapan anggota polis berkenaan dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Johor di Plaza Tol Kempas di sini pada hari ini.

Baru-baru ini seorang tukang cuci wanita berusia 41 tahun membuat laporan polis mendakwa seorang anggota polis meminta wang RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.

Pengadu dikatakan hadir ke IPD Seri Alam dan menyerahkan wang berjumlah RM35,000 kepada anggota polis berkenaan, namun mendakwa adiknya masih tidak dibebaskan hingga kini.

Susulan itu, enam lelaki dan dua wanita yang juga pegawai serta anggota polis IPD Seri Alam ditahan kira-kira jam 2 pagi Rabu untuk siasatan lanjut.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, siasatan masih dijalankan sama ada semua suspek memiliki sebarang rekod jenayah atau pernah mempunyai masalah disiplin ketika bertugas sebelum ini.

Jelas beliau, setakat ini hanya mereka yang ditahan untuk siasatan.- MalaysiaGazette