PUTRAJAYA – UMNO menghormati permohonan keluarga Datuk Seri Najib Razak yang mempertimbangkan untuk membuat permohonan pengampunan kedua ke atas hukuman membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia adalah langkah yang baik dan seharusnya dibuat dengan mengambil hormat kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selaku Yang di-Pertuan Agong yang baharu.
“Kita (UMNO) ke arah menyantuni permintaan (Datuk Seri) Najib dan ahli keluarganya.
“Eloklah langkah-langkah yang akan dibuat nanti mengambil kira rasa hormat kita kepada YPDA ke-17 kerana baginda juga mempunyai kuasa seperti mana termaktub dalam Perlembagaan,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Bulan Februari 2024 di Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai kenyataan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa anak guamnya ingin membuat permohonan pengampunan kali kedua.
Shafee semalam memaklumkan permohonan itu dibuat disebabkan anak guamnya tidak mendapat keadilan ketika perbicaraan dan semasa proses Lembaga Pengampunan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, masyarakat mahupun pengamal undang-undang sepatutnya menghormati keputusan yang telah dimuktamadkan Lembaga Pengampunan.
Jelasnya, sebarang keputusan mengenai keputusan tersebut adalah kuasa mutlak kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Saya fikir untuk kita hormati keputusan yang dibuat Lembaga Pengampunan kerana Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang pengerusikan.
“Mengikut Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan menyebutkan bahawa itu adalah hak mutlak sepenuhnya Yang di-Pertuan Agong.
“Maka siapa pun individu termasuk peguam hendaklah menghormati keputusan ini dan selanjutnya kita ambillah langkah-langkah dari segi perundangan dan dari segi langkah-langkah perlu untuk kita mengusahakan pembelaan ini kepada Najib,” katanya lagi.
Pada 2 Februari lalu, dalam satu kenyataan media, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya memaklumkan Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas perdana menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Selain tarikh pembebasan awal itu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Sehubungan itu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022. – MalaysiaGazette