KUALA LUMPUR – Pemimpin Perikatan Nasional (PN) khususnya Bersatu perlu menghentikan permainan politik dan tidak berselindung di sebalik nama rakyat demi kelangsungan mereka.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar berkata, sepatutnya pemimpin pembangkang perlu memberi tumpuan untuk bekerja untuk rakyat seusainya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jangan menjual dan menggunakan nama rakyat demi menyelamatkan politik masing-masing dan kluster mahkamah dalam kalangan mereka.

“Tak perlu kita membazirkan wang rakyat sehingga ratusan juta untuk mengadakan satu lagi PRU yang belum cukup matang tempohnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menasihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar meletakkan jawatan kerana didakwa gagal mentadbir negara.

Hamzah juga berkata, jika Anwar enggan berbuat demikian, beliau tidak menolak kemungkinan rakyat akan bangkit dan mendesak Presiden PKR itu turun dari Putrajaya.

Gulam yang juga Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, sebaliknya Hamzah perlu risau dengan ahli-ahli Parlimennya kini bertindak membelakangkan parti dan menyokong Perdana Menteri.

“Lagi bagus jika Bersatu jaga ahli-ahli Parlimen mereka yang sekarang tinggal 67 dari 74 sebelum ini agar tak lagi melompat,” katanya.

Katanya lagi, Hamzah perlu lebih risau dengan perpecahan kepimpinan yang berlaku di dalam Bersatu perlu dirisaukan daripada pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Apatah lagi sekarang berlaku pertembungan” political struggle’ yang sedang nazak di dalam kem Bersatu.

“Kem Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedang mengatur secara diam untuk membunuh satu sama lain demi cita-cita politik mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast