KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan dan Sarawak komited untuk saling bekerjasama memperkukuhkan galakan penggunaan teknologi dalam aktiviti pertanian.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia bagi meningkatkan hasil pengeluaran sekali gus memastikan keterjaminan makanan negara konsisten.

“Pemerkasaan penggunaan teknologi moden dalam pertanian juga merupakan antara langkah penyelesaian bagi menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh sektor agromakanan di peringkat domestik mahupun global,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja rasmi di Sarawak.

Mohamad turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia.

Mengulas lanjut katanya, KPKM pada tahun ini akan memberikan fokus kepada usaha mengukuhkan empat industri padi dan beras, ayam dan telur, bawang dan nanas.

Jelasnya usaha tersebut akan dilaksanakan secara holistik dan komprehensif melalui Program Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR).

“Aspirasi ini adalah selaras dengan kerangka strategik di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021 hingga 2030 (DAN 2.0),” katanya lagi.

Dalam masa yang sama ketika pertemuan itu, Mohamad berkata beliau telah menjelaskan fokus Kementerian pada tahun lalu yang akan diteruskan melibatkan akuakultur, penternakan lembu secara fidlot, jagung bijian, penglibatan anak muda dan pemerkasaan institut latihan pertanian.

Mohamad ketika lawatan berkenaan turut mengumumkan harga lantai belian padi ditetapkan kepada RM1,300 per tan metrik di Sabah dan Sarawak yang akan dikuatkuasakan bermula 15 Februari ini.-MalaysiaGazette