MELAKA – Sebuah pusat refleksologi yang turut menawarkan khidmat seks kepada warga asing diserbu Jabatan Imigresen (JIM) di Taman Teknologi Cheng, di sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 6 petang itu, seramai 20 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 43 tahun ditahan termasuk ada yang dalam keadaan bogel dan tidak sempat melarikan diri.
Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, serbuan dibuat hasil risikan dan maklumat awam yang mendakwa premis berkenaan kerap dikunjungi lelaki warga asing sehingga menimbulkan ketidakselesaan penduduk sekitar.
“Kegiatan tidak bermoral itu dipercayai aktif sejak tahun lalu dengan menyediakan pakej perkhidmatan refleksologi dan seks pada kadar RM50 hingga RM100 bagi satu sesi 15 minit.
“Semasa serbuan dilakukan, ada warga asing sedang leka melanggan wanita termasuk bersembunyi dalam keadaan bogel,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati premis berkenaan menawarkan perkhidmatan urutan refleksologi dan seks berdasarkan penemuan kondom, minyak pelincir dan buku rekod.
“Turut diberkas seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dipercayai menjadi dalang kegiatan tidak bermoral tersebut.
“Hasil pemeriksaan, seramai tujuh wanita warga Thailand, 16 lelaki Bangladesh dan dua lelaki warga Myanmar dan Nepal ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya.
Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) untuk disabitkan kesalahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670). – MalaysiaGazette.