Siew Hong (kanan) dengan barisan peguamnya, J Gunamalar dan Thian Yee Chin.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan pembatalan pengislaman tiga anak ibu tunggal, Loh Siew Hong oleh Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi disini telah mengekalkan status quo agama Islam tiga anak itu yang ditukar secara sebelah pihak oleh bekas suami Siew Hong, Muhammad Nagashwaran Muniandy namun dibatalkan Mahkamah Rayuan.

MAIPs menamakan Siew Hong sebagai responden difailkan menerusi notis usul oleh Tetuan Chambers Zainul Rijal selaras Seksyen 96(a), 96(b), 97 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 selain bidang kuasa termaktub dalam Mahkamah Persekutuan.

Difahamkan MAIPs akan diberikan lapan minggu daripada tarikh pemfailan notis rayuan untuk memfailkan dan menyerahkan rekod rayuan.

Tiga panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang pada 10 Januari telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan Siew Hong.

Panel sebulat suara memutuskan Mahkamah Tinggi tidak menyentuh dua isu termasuk sama ada penukaran agama anak ibu tunggal secara unilateral adalah sah ketika prosiding semakan kehakiman.

Sebelum itu, tahun lalu 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menolak permohonan semakan kehakiman Siew Hong bagi mencabar pengislaman ketiga-tiga anaknya oleh bekas suami yang memeluk Islam.

Jelas Wan Ahmad, pihak pemohon tidak mempunyai bukti ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah ditukar kepada agama Hindu semula.

Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika, Indira Gandhi kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan ketika itu, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir dibuat Indira Gandhi berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya kepada Islam. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast