Anggota JPJ KL menunjukkan motosikal yang disita kerana tidak memilki cukai jalan, perlindungan insurans dan lesen memandu di Jalan Semarak semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal yang tidak memiliki lesen memandu bertindak memecut laju kira-kira satu kilometer ketika cuba mengelak daripada ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi di ibu negara semalam.

Namun, lelaki berusia 27 tahun itu gagal meloloskan diri apabila berjaya ditangkap bersama motosikalnya di Jalan Semarak, pada jam 4.46 petang.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Erick Jusiang berkata, pada mulanya penunggang motosikal itu dilihat berada dalam keadaan mencurigakan oleh Unit Penguatkuasaan Motosikal JPJ Kuala Lumpur di Jalan Tun Razak berhampiran Istana Budaya.

“Semasa anggota JPJ hendak menahan dia, penunggang itu bertindak memecut laju motosikalnya hingga ke Jalan Semarak.

“Tetapi, anggota kami akhirnya berjaya menahan lelaki tersebut bersama motosikal yang digunakan untuk meloloskan diri,” katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Tambah Erick, pemeriksaan lanjut JPJ mendapati lelaki itu tidak memiliki lesen memandu sah manakala cukai jalan motosikalnya juga sudah tamat tempoh serta kenderaanya  tidak mempunyai perlindungan insurans.

“Malah, motosikal itu dikesan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain serta kesalahan ubah suai yang tidak mematuhi spesifikasi serta piawaian penguatkuasaan.

“Ketika ditanya sebab tindakan melarikan diri, penunggang itu mendakwa kononnya dia takut ditahan JPJ.

“Berikutan kita kita telah menyita motosikalnya jenis Yamaha Y15ZR untuk tindakan lanjut di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast