KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menahan 10 penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban (PLUS) dan Lebuhraya Kajang – Seremban (LEKAS).

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata operasi yang bermula pada 10.30 malam hingga 4 pagi tadi bertujuan membanteras kegiatan samseng jalanan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya terutama ketika Op Selamat ke-21 yang sedang berlangsung.

Beliau berkata kesemua mereka yang berumur antara 17 hingga 23 tahun itu ditahan kerana melakukan aksi meniarap di atas motosikal di Kilometer (KM) 284 hingga KM 276 Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban dan KM 19 Lebuhraya Kajang – Seremban.

“Hasil soal siasat, mereka menyatakan lokasi terbabit dijadikan laluan untuk mereka pergi ke kedai makan yang terletak di Seremban 3 dan Nilai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk tindakan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain itu, Mohd Azman berkata 48 saman dikeluarkan dalam operasi berkenaan dan polis turut menyita 10 motosikal. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast