Hassan menyaksikan persembahan tarian singa semasa hadir sambutan Tahun Baharu Cina di Tokong Kim Ying Plentong, Pasir Gudang hari ini.

PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan beliau seorang yang berpegang kepada prinsip.

Selain tidak akan berdiam diri terhadap perkara dianggapnya tidak betul yang memerlukannya menegur.

Beliau juga tidak gentar dipecat atau digantung keahlian daripada PKR kerana tidak mempunyai sebarang kepentingan malah tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan dan parti.

“Jadi saya nak jaga apa sangat, (nak) buang, buangla (nak) pecat, pecatla. Saya tukar baju ahli Parlimen pakai baju lawyer (beliau merupakan seorang peguam) pergi mahkamah.

“Tak gentar digantung atau dipecat, bukanlah saya berkata angkuh bila kata macam itu. Saya tiada kekuatan, kalau saya disingkirkan daripada parti tak rugi apa pun. Patah tumbuh hilang berganti.

“Saya serah sahaja, apa pilihan yang saya ada, saya dah tua, takkan nak setuju atau tunduk sahaja (apabila tidak bersetuju),” katanya kepada pemberita selepas hadir sambutan Tahun Baharu Cina di Tokong Kim Ying, Plentong hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada bersedia dikenakan tindakan selepas mendakwa reformasi dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu perlahan dan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) wajar turun ke jalanan menuntut janji.

Pada Rabu lalu, Bersih menggesa pentadbiran Anwar tidak lagi berdalih dan melaksanakan semua agenda reformasi dijanjikan sebelum menjadi kerajaan atau bersedia berdepan demonstrasi jalanan.

Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, rakyat kecewa dan marah berikutan perkembangan mutakhir pelaksanaan agenda reformasi dalam negara yang indah khabar dari rupa.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak pernah melupakan reformasi institusi kerana itu antara perkara utama diperjuangkan pentadbiran Anwar.

Hassan percaya Anwar yang juga Presiden PKR faham perkara yang disuarakannya dan itu bukan kali pertama beliau membuat teguran.

Katanya, PKR adalah sebuah parti politik berteraskan perjuangan reformasi dan perlu diteruskan pada masa sama percaya agenda tersebut akan diteruskan selagi Anwar menjadi presiden parti tersebut.

Dalam pada itu, Hassan berangapan Anwar maklum mengenai isu yang dibangkitkan.

“Kalau orang lain jadi Presiden PKR saya tak berani cakapla tapi teguran saya itu Anwar faham maksud saya (perkara yang dibangkitkan). Kita tidak mahu Anwar dikelilingi pegawai dia yang yes man sokong sahaja,”katanya.

Hassan berkata, walaupun membuat teguran termasuk dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini, hubungannya dengan Anwar tidak mempunyai masalah.- MalaysiaGazette