Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah merampas kira-kira 20 kilogram benih kerang di jeti Kuala Selangor pada petang semalam.

PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah merampas kira-kira 20 kilogram benih kerang di jeti Kuala Selangor pada petang semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, rampasan dilakukan kira-kira pukul  2.15 petang, ketika bot ronda Maritim Negeri Selangor melaksanakan OP EHSAN ,OP TIRIS 3.0 dan OP BLACK GOLD di sepanjang perairan
Selangor.

“Semasa rondaan dan pemantauan di perairan sungai Kuala Selangor, dua lelaki dalam keadaan yang mencurigakan bertindak melarikan diri serta meninggalkan dua guni di atas jeti apabila bot ronda cuba menghampiri mereka.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua guni itu berisi anggaran 20 kilogram benih kerang yang disyaki dicuri dalam anggaran nilai RM2, 000,” katanya dalam satu kenyataan.

Dua guni itu dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Perkara 4(3) di bawah peraturan-peraturan perikanan (pemulihan dan kultur kerang 2002) iaitu larangan terhadap mana-mana pihak
yang mengambil sebarang benih spesies kerang dari lokasi habitat semulajadinya.

Maritim Negeri Selangor akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang kesalahan dan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras agar perairan Selangor sentiasa selamat, aman dan terkawal.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam. – MalaysiaGazette