PUTRAJAYA – Program MADANI Rakyat Zon Tengah akan diadakan di Kompleks Sukan Kuala Selangor, Selangor selama tiga hari bermula 23 Feb ini.
Sekretariat Program MADANI Rakyat dalam kenyataan hari ini memaklmumkan program bertujuan memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
“Program MADANI Rakyat merupakan wadah untuk masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara terus daripada kementerian-kementerian di peringkat Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi peringkat negeri, di samping memberi peluang kepada masyarakat umum mengemukakan pandangan dan cadangan untuk menambah baik mutu perkhidmatan.
“Ia juga mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuhkan hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras dengan agenda Malaysia MADANI,” menurut kenyatan itu.
Menurut Sekretariat Program MADANI Rakyat, program tersebut memberi tumpuan kepada aktiviti yang berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan, program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta program kesejahteraan rakyat, selain pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor khususnya.
Program anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan kerajaan Selangor itu merangkumi Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menurut kenyataan itu, proram tersebut turut melibatkan kerjasama strategik syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta.
Turut diadakan ialah Jualan Agro dan Mega MADANI yang menawarkan potongan harga dan tawaran istimewa serta pameran aset-aset kerajaan sepanjang program berlangsung.
Majlis penutupan Program MADANI Rakyat Zon Tengah bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Feb ini yang akan turut dihadiri kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Program MADANI Rakyat adalah kesinambungan daripada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember lepas.
“Orang ramai dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Program MADANI Rakyat Zon Tengah pada 23 hingga 25 Feb ini bermula 9 pagi hingga 10 malam,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA