KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,764 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara dalam tempoh tiga hari penguatkuasaan Op Selamat 21 bersempena sambutan Tahun Baharu Cina 2024 bermula Khamis 8 Februari lalu sehingga semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, sebanyak 5,891 kenderaan yang terbabit kemalangan di jalan raya.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 44 kes kemalangan maut telah direkodkan dengan 46 kematian catatkan.
“Selain itu, seramai 32 orang atau sebanyak 69 peratus daripada keseluruhan kes kematian itu adalah melibatkan penunggang serta pembonceng motosikal,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pemantauan JSPT di lebuh raya utama seluruh negara mendapati lebih 6 juta kenderaan telah menggunakan lebuh raya sepanjang tempoh sempena cuti umum sambutan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah.
Justeru katanya, keseluruhan jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Plus menuju ke utara dan selatan serta timur adalah sebanyak 5.78 juta dengan purata 1.92 juta kenderaan dalam satu masa.
Sementara itu, sebanyak 886,106 kenderaan menggunakan Lebuhraya Karak arah Pantai Timur dengan purata 295,369 kenderaan dalam satu masa.
“Pada masa sama, JSPT menjangkakan akan berlaku peningkatan kenderaan sepanjang tempoh Op Selamat 21 berikutan cuti panjang sempena perayaan terutama membabitkan pergerakan antara daerah dan negeri-negeri.
“Pengguna jalan raya semestinya mengambil kesempatan untuk melawat saudara mara dan ke destinasi pelancongan sepanjang cuti perayaan dan juga cuti sekolah Februari ini dan situasi ini membabitkan pergerakan melalui lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan negeri serta bandaran,” ujarnya. – MalaysiGazette