KUALA LUMPUR – Kesalahan tidak memiliki lesen memandu merupakan kesalahan paling banyak direkodkan Op Selamat 21 Tahun Baharu Cina 2024 di ibu negara semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam operasi itu, pihaknya mengeluarkan 731 saman kerana pelbagai kesalahan.
“Mengikut pecahan, saman paling banyak dikeluarkan untuk kesalahan tidak memiliki lesen memandu iaitu sebanyak 191 kes disusuli kesalahan gagal mempamer pelakat L dan P (146 kes).
“Kesalahan tiada nombor pendaftaran kenderaan adalah sebanyak 86 kes, nombor plat tidak ikut peraturan (74 kes) dan cukai jalan tamat tempoh sebanyak 68 kes.
“Selebihnya lain-lain kesalahan antaranya mengubah suai struktur kenderaan (10 kes), tidak ikat kemas topi keledar (15 kes) dan kesalahan mengubahsuai ekzos motosikal (12 kes),” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Operasi itu dijalankan di beberapa jalan utama di ibu negara antaranya di Jalan Loke Yew, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Laut, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Jalan Kuching bermula jam 10 malam.
Menurut Sarifudin, polis turut menyita 19 buah motosikal dalam operasi tersebut manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan sembilan notis di bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Selain itu, tambah beliau, seramai empat penunggang motosikal ditahan kerana melakukan aksi wheelie dan superman.
“Kesemua penunggang motosikal itu berusia lingkungan antara 19 hingga 23 tahun manakala semakan lanjut mendapati salah seorangnya memiliki rekod lampau bersabit kes dadah,” ujarnya. – MalaysiaGazette