Para pengundi warga Indonesia yang telah menunggu lama selepas selesai proses pendaftaran awal kini dilanjutkan masa sehingga jam 8 malam untuk mengundi selepas proses pendaftarannya ditutup tepat jam 6 petang tadi di WTC KL bagi proses pemilihan PEMILU dan Presiden Indonesia 2024 kali ini.

KUALA LUMPUR – Pengundi awal Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihanraya Presiden (Pilpres) untuk warga Indonesia yang tinggal di Malaysia yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ditutup pada jam 6 petang.

Bagaimanapun, ketika pengundian ditutup masih terdapat barisan pengundi yang panjang selepas mereka mendaftar.

Berikutan itu, Kedutaan Indonesia di Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) melanjutkan waktu mengundi sehingga jam 8 malam.

Tinjauan Malaysia di sekitar WTCKL mendapati kesesakan telah berkurangan, tidak seperti pada waktu pagi dan tengah hari tadi.

Pada jam 6 petang papan tanda dan palang menuju ke kaunter pendaftaran ditanggalkan serta pintu juga ditutup bagi mengelakkan mereka yang masih beratur menyelinap ke kaunter sedangkan waktu pendaftaran telah tamat.

Seramai 222,945 pemilih berdaftar di Kuala Lumpur layak mengundi awal.

Selain Kuala Lumpur, pengundian awal Pemilu dan Pilpres turut dilaksanakan di Pulau Pinang  dengan 5,375 pengundi, Johor Bahru (2,684 pengundi), Kota Kinabalu (2,811 pengundi), Tawau (20,247 pengundi) dan Kuching 2,988 (pengundi).

Indonesia memulakan kempen bagi pilihan presiden 2024 pada November tahun lalu yang menyaksikan persaingan tiga calon merebut jawatan Presiden pada 14 Februari ini iaitu bekas pegawai tentera, Prabowo Subianto; bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast