Sebanyak 80 buah motosikal dijalankan pemeriksaan dalam Ops Samseng Jalanan hari ini

KUANTAN – Sebanyak 301 saman dikeluarkan dalam tempoh tujuh jam pelaksanaan Op Samseng Jalanan di dua lokasi berasingan, di sini,  hari ini.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, Op Samseng Jalanan di di Tanjung Lumpur berhadapan Petronas dan Jalan Taman Tas Kuantan dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

”Ops Samseng Jalanan bermula jam 4 petang tadi dan berakhir 11 malam tadi berjaya mengesan penunggang motosikal pelbagai kesalahan.

”Operasi yang diketuai oleh seorang pegawai dan bersama tujuh  anggota HMPV BSTPD Kuantan telah memeriksa 80 buah motosikal.

”Hasil dari pemeriksaan ,301 keping saman dikeluarkan dan menahan 12 buah motosikal atas  kesalahan ubah suai struktur kenderaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Wan Zahari, kesemua motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tambahnya, antara kesalahan yang dikesan melibatkan lesen kenderaan insurans tamat tempoh, lesen memandu tamat dan mengubah suai plat nombor kenderaan. – MalaysiaGazette