Anggota bomba melihat kemusnahan dua rumah yang musnah dalam kebakaran di Lorong Zakaria, Jalan Alor Gajah, Melaka pagi tadi.

ALOR GAJAH – Lapan individu nyaris rentung apabila dua rumah papan didiami hangus dalam kebakaran di Lorong Zakaria, Jalan Alor Gajah, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.20 pagi itu, kesemua lapan mangsa berumur antara 9 hingga 58 tahun daripada dua keluarga bagaimanapun terselamat selepas kejadian disedari seorang kanak-kanak yang ternampak api dari bahagian dapur.

Mangsa, Muhammad Ridzuan Jasmi 17, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur di ruang tamu rumah kayu setingkat itu sebelum dikejutkan anak saudaranya.

Muhammad Ridzuan Jasmi

“Dia beritahu bahagian dapur sudah terbakar sebelum saya segera mencapai selimut dan membasahkannya dengan air untuk memadam api bersama paip air.

“Bagaimanapun usaha itu gagal sebelum jiran di belakang rumah meminta saya matikan suis utama elektrik dan lari keluar menyelamatkan diri sementara menunggu ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang menjaga lima anak saudaranya sementara emak, ayah dan abang iparnya keluar bekerja.

“Mujurlah anak saudara saya pergi ke dapur, kalau tidak tak tahulah apa nasib kami sekeluarga.

“Tiada apa yang sempat diselamatkan termasuk sebuah motosikal kerana api marak begitu cepat, ” katanya.

Keadan dua rumah yang terbakar

Sementara itu jirannya, yang turut tinggal sehelai sepinggang, Asnita Asmadi, 20, berkata, dia dan ibu berusia 58 tahun bersyukur kerana sempat lari menyelamatkan diri.

“Waktu itu saya sedang buat persiapan makan tengah hari sebelum terhidu bau asap dan terdengar jeritan jiran di depan rumah beritahu rumahnya sedang terbakar.

“Dalam keadaan panik itu, saya segera menghubungi bomba dan meminta semua mereka duduk di luar rumah.

“Angin kuat dan cuaca panas mengakibatkan kedua-dua rumah hangus sepenuhnya dalam waktu yang singkat,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Khusairy Deraman berkata, pihaknya menerima maklumat kebakaran pada pukul 11.23 pagi.

Menurutnya seramai 18 anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan BBP Cheng dikejarkan ke lokasi sebelum tiba lima minit kemudian.

Mohd Khusairy Deraman

“Sebaik tiba, didapati api dua rumah yang didiami 12 individu daripada dua buah keluarga itu sedang marak namun berjaya dikawal pada pukul 12 tengah hari.

“Kesemua lapan mangsa berusia antara 58 hingga 9 tahun bagaimanapun terselamat dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 1 tengah hari,” katanya.

Tambahnya, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast